IPOH – Hanya 86 aduan dan maklumat berkaitan rasuah diterima Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman sepanjang tahun lalu.
Pengarah JIPS, Datuk Seri Azri Ahmad berkata, jumlah itu bersamaan dengan 1.28 peratus daripada 6,696 jumlah keseluruhan aduan dan maklumat yang diterima membabitkan warga PDRM.
Katanya, meskipun jumlah itu disifatkan kecil namun statistik bagi kategori rasuah begitu mengesankan PDRM.
“JIPS membahagikan aduan dan maklumat yang diterima ini kepada empat kategori iaitu integriti, tatakelola, rasuah dan umum.
“Jika dibandingkan dengan kekuatan semasa PDRM (beruniform) iaitu sekitar 125,000 orang dalam satu-satu masa, jumlah aduan dan maklumat berkaitan rasuah adalah sekitar 0.07 peratus.
“Bagaimanapun perlu diingat, isu rasuah telah memberi kesan mendalam kepada persepsi rasuah dalam PDRM. Oleh itu, usaha menangani rasuah dan persepsinya perlu dibuat dengan lebih agresif,” katanya ketika berucap pada Majlis Serah Tugas Ketua Polis Perak di Mes Pegawai Kanan Perak, di sini hari ini.
Terdahulu, Azri menyaksikan serah tugas antara Pemangku Ketua Polis Perak, Zulkafli Sariaat dengan Ketua Polis Perak yang baharu, Datuk Noor Hisam Nordin berkuat kuasa hari ini.
Menurut beliau, sepanjang tahun lalu, sebanyak 2,105 Kertas Siasatan Tatatertib (KST) dan 1,498 Kertas Enkuiri Tatatertib (KET) dibuka berbanding 2,150 KST dan 1,643 KET direkodkan pada tahun sebelumnya. – KOSMO! ONLINE