GEORGE TOWN – Guru-guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Permai di sini mencipta kelainan tersendiri pada hari pertama sesi persekolahan apabila memilih menyarungkan kostum animasi dan pakaian bertemakan ikon negara, hari ini.
Guru Besarnya, Mohammad Sabarullah Shaik Ismail berkata, ini bertujuan bagi menarik perhatian murid ketika kembali ke sekolah sekali gus dapat meningkatkan keyakinan diri mereka untuk memulakan sesi pembelajaran tahun ini.
Menurutnya, pemilihan pakaian bertemakan ikon negara juga dapat membuktikan kehebatan tokoh-tokoh yang terlibat dalam dunia seni, muzik dan kebudayaan sekali gus dijadikan sebagai inspirasi kepada anak bangsa.
“Masing-masing guru menggayakan pakaian ikut kreativiti sendiri termasuk ada yang menyarung maskot kartun animasi sebagai hiburan untuk anak-anak murid.
“Ini sekurang-kurangkan dapat membangkitkan semangat jati diri dan suasana ceria serta hilangkan rasa gemuruh mereka pada hari pertama menjejak kaki ke sekolah,” katanya di sini hari ini.

Jelas Mohammad Sabarullah lagi, kelainan yang ditampilkan oleh guru-guru SK Seri Permai juga menepati slogan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) iaitu Serlahkan Sekolahku @ Penang pada kali ini.
Sementara itu, Pengarah JPN, Wan Sajiri Wan Hassan berkata, seramai 235,305 murid memulakan sesi persekolahan di 396 buah sekolah di Pulau Pinang, hari ini.
Daripada jumlah tersebut katanya, seramai 20,192 murid mendaftar bagi Tahun Satu manakala 16,814 pelajar di Tingkatan Satu.
“Pada hari pertama persekolahan hari ini, kita lihat semua murid hadir ke sekolah dengan semangat dan kita dapati bahawa semua sekolah melaksanakan minggu pertama persekolahan dengan aktiviti yang menyeronokkan.
“Kita harapkan agar negeri Pulau Pinang tiada sebarang masalah dari hari pertama persekolahan dan seterusnya pada minggu pertama minggu ini,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE