SEMENYIH – Isu kesihatan dan mahu memberi tumpuan kepada keluarga dikenal pasti faktor utama kepada kebanyakan guru yang membuat pilihan untuk bersara awal.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) perlu mempertimbangkan perkara itu dalam konteks manusia.
“Kalau kita sebut pendidikan manusiawi, penting pentadbiran kita juga manusiawi mengambil kira apa yang mereka hasratkan itu kerana isu-isu terkiat rapat mereka.
“Kebanyakannya isu kesihatan dan memberi tumpuan kepada keluarga,” katanya pada sidang akhbar selepas melakukan lawatan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Pelangi Semenyih yang baru beroperasi hari ini.
Fadhlina berkata, KPM bagaimanapun melakukan intervensi bagi mengimbangi kekosongan ditinggalkan guru terbabit dengan pengambilan guru baharu.
Menurut beliau, KPM bekerjasama dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) bagi memastikan kekosongan tersebut ditampung.
“Jadi sinergi itu mesti konsisten supaya isu kekurangan guru dapat ditangani. Kita memang ada bersara wajib antara 5,000 hingga 6,000 setiap tahun. Bersara pilihan pula bergantung kepada sebab dan alasan,” katanya. – KOSMO! ONLINE