KUALA LUMPUR – Ketua juri Anugerah Juara Lagu 39 (AJL39), Edry Abdul Halim memaklumkan lagu Hening Rindu nyanyian Marsha mempunyai kelebihan tersendiri sehingga layak diangkat sebagai juara pertandingan berprestij tersebut.
Menurutnya, lagu Hening Rindu ciptaan Ikhwan Fatanna dan Wan Saleh itu meraih markah ekstra dari sudut teknikal.
“Kelebihan Hening Rindu ialah dari sudut teknikal. Banyak elemen muzikal yang membantu dapat markah lebih seperti ‘progression’ dan susunan muzik.
“Marsha juga berjaya menyampaikan emosi lagu ini dengan baik.
“Jadi, gabungan komposer, penulis lirik dan penyanyi yang baik harus lengkap, itu kelebihan yang ada pada Hening Rindu,” katanya pada sidang media malam
kemuncak AJL39 di sini, semalam.
Edry juga berpendapat, AJL39 menyaksikan persaingan sengit karya-karya tempatan selain meliputi kepelbagaian genre muzik.
“Secara keseluruhan, ini satu pertandingan yang sangat sengit dan setiap lagu buat para juri tak akan teragak-agak untuk beri markah tetapi itu yang kita mahu untuk pentas AJL. Kita mahukan variasi, macam-macam genre bertanding.
“Kemudian, saya rasa banyak orang sorak untuk barisan penyanyi ‘the diva’ (Aina Abdul, Ernie Zakri, Nadeera dan Marsha) sekali gus menunjukkan orang nak melihat persembahan vokal,” ujarnya.
Vokal Terbaik sengit
Mengulas mengenai Anugerah Vokal Terbaik, Edry berkata tiga penyanyi yang bersaing sengit untuk kategori tersebut adalah Ernie, Aina dan Nadeera.
“Top 3 vokal terbaik adalah Ernie, Aina dan Nadeera. Tiga penyanyi ini bersaing sengit untuk kedudukan mereka bagi Anugerah Vokal Terbaik.
“Kelebihan Ernie ialah pada teknik vokal yang digunakan iaitu ‘a lot of runs’ dan pelbagai teknik yang dimasukkan dalam lagu Aura.
“Jadi itu adalah alasan kenapa Ernie menang dan berjaya mendapat kedudukan tertinggi berbanding Aina serta Nadeera,” ujarnya.
Disoal mengenai jurang markah antara tiga penyanyi wanita itu, Edry berkata peratusan tersebut sangat tipis.
“Perbezaan markah antara ketiga-tiga mereka sangat hampir. Adakalanya hanya perlu satu markah sahaja bagi membezakan.
“Mungkin markah itu berbeza disebabkan penyanyi tersebut tarik nafas panjang sikit, itu pun boleh jadi penyebab.
“Namun, siapa kita nak menidakkan yang nombor dua dan nombor tiga. Mereka semua penyanyi hebat,” katanya lagi.
Semalam, AJL39 menyaksikan lagu Hening Rindu nyanyian Marsha Milan dinobatkan sebagai juara sekali gus membawa pulang wang kemenangan berjumlah RM100,000.
Manakala, lagu Bukan Lagi Kita dendangan Nadeera diumumkan sebagai tempat kedua dan lagu Saksama oleh Akim & The Majistret di tempat ketiga.
Trofi Persembahan Terbaik pula menjadi milik Aina Abdul menerusi lagu Puas Sudah. – KOSMO! ONLINE