KLANG – Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sepanjang 25 kilometer (km) melibatkan jajaran dari Stesen Jalan Kastam di Pelabuhan Klang ke Pelabuhan Utara dan Barat akan diubah skop pembinaan kepada landasan berkembar daripada landasan tunggal dwi tolok.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, kos pembinaan bagi Seksyen D tidak memerlukan peruntukan tambahan pihak kerajaan dan tidak meningkatkan kos pembangunan keseluruhan projek ECRL.
Katanya, sebelum ini jajaran ECRL Seksyen itu hanya berakhir di Stesen Jalan Kastam tanpa. penyambungan ke Pelabuhan Utara dan Barat.
“Kabinet telah bersetuju untuk membina landasan berkembar, yang merangkumi landasan tolok Standard baharu bagi perkhidmatan ECRL serta mengekalkan landasan tolok Meter sedia ada bagi perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).
“Perubahan skop kepada landasan berkembar ini dijangka memberikan impak besar dengan membolehkan perkhidmatan KTMB dan ECRL beroperasi secara bebas tanpa bergantung antara satu sama lain.
“Ini akan meningkatkan kapasiti perkhidmatan rel kargo kedua pelabuhan itu secara keseluruhan serta memperkukuhkan kecekapan industri perdagangan import-eksport negara apabila projek ini siap sepenuhnya,” katanya pada sidang akhbar hari ini.
Terdahulu, beliau merasmikan majlis sambutan Tahun Baharu Cina dan peluncuran Malaysia Maritime Single Window di sini.
Anthony memberitahu, Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL) selaku pemilik Projek ECRL dan China Communications Construction Company Ltd (CCCC) sebagai kontraktor utama akan mengeluarkan maklumat tender secara terperinci pada penghujung bulan ini.
Keutamaan diberikan kepada kontraktor Bumiputera yang berkelayakan dan berpengalaman dalam industri rel.
“Jajaran Seksyen D ini turut memainkan peranan strategik dengan melengkapkan ‘jambatan darat’ dan memastikan kesalinghubungan yang lancar antara yad di Pelabuhan Kuantan dan Pelabuhan Utara dan Barat yang masing-masing di Pelabuhan Klang.
“Pemindahan cara pengangkutan kargo daripada menggunakan jalan raya kepada rel melalui jajaran Pintasan Serendah-Pelabuhan Klang dan jajaran tambahan ke Pelabuhan Utara dan Barat akan mengurangkan kesesakan jalan raya, kemalangan dan pencemaran alam sekitar, ” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau menjelaskan Jajaran ECRL dari Kota Bharu ke Terminal Bersepadu Gombak dijadualkan siap pada Disember tahun depan dan akan mula beroperasi pada Januari 2027.
“Manakala, sambungan jajaran rel dari Gombak ke Pelabuhan Klang akan siap menjelang Disember 2027 dan beroperasi sepenuhnya pada Januari 2028,” katanya. – KOSMO! ONLINE