PARIT – Dua pelajar lelaki Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Muhammad Shah dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus Sungai Perak dekat Kampung Tepus, di sini hari ini.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, maklumat kejadian itu diterima pada pukul 4.21 petang.
Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Parit diatur gerak ke lokasi kejadian untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR).
“Berdasarkan maklumat awal, kedua-dua mangsa dikatakan terjatuh ke dalam sungai ketika cuba mengambil bola. Operasi mencari dan menyelamat digerakkan dengan kekuatan tujuh anggota menggunakan bot aluminium.
“Penduduk kampung turut membantu operasi pencarian menggunakan bot nelayan. Setakat pukul 6.30 petang, kedua-dua mangsa belum dijumpai,” katanya. – KOSMO! ONLINE