fbpx

Bellingham terima padah maki pengadil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BELLINGHAM (kiri) terkejut apabila dilayangkan kad merah oleh Montero ketika menentang Osasuna kelmarin. - AFP

PAMPLONA, Sepanyol – Bintang Real Madrid, Jude Bellingham dianggap sebagai punca utama pasukannya sekadar seri 1-1 dengan Osasuna pada aksi La Liga di Stadium El Sadar kelmarin.

Keputusan itu menyaksikan Real gagal melebarkan penguasaan lebih jauh di puncak liga biarpun masih memiliki kelebihan empat mata ke atas seteru setempat, Atletico Madrid di tangga kedua.

Juara bertahan itu juga bernasib baik apabila Atletico gagal memanfaatkan situasi apabila turut seri 1-1 dengan Celta Vigo dalam satu lagi aksi La Liga berlangsung awal pagi semalam.

Selepas tamat perlawanan, Bellingham mendedahkan, kata-kata kesat yang keluar daripada mulutnya ditujukan kepada dirinya sendiri, bukan pengadil, Jose Luis Munuera Montero.

Pemain tengah berusia 21 tahun itu diarahkan meninggalkan padang selepas dilayangkan kad merah pada minit ke-39 disebabkan kata-kata kesat tersebut.

“Susah sebenarnya apabila pengadil tidak pasti untuk menentukan apa yang keluar daripada mulut saya. Kad merah ini secara tidak langsung menjejaskan pasukan.

“Anda sendiri boleh melihat insiden itu. Apa yang berlaku itu adalah luahan saya kepada diri sendiri. Saya tidak tujukan kepada sesiapa terutamanya pengadil.

“Dia (pengadil) merasakan saya berkata sesuatu kepadanya. Tiada niat untuk menghinanya, semua ini berlaku disebabkan salah faham,” kata Bellingham.

Real membuka tirai jaringan menerusi Kylian Mbappe sebelum kad merah Bellingham membuka ruang buat Celta meledak gol penyamaan menerusi Ante Budimir pada babak kedua. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI