KUALA LUMPUR – Penyanyi Aina Abdul menafikan mengeluarkan belanja lebih setengah juta untuk persembahannya bagi lagu Puas Sudah pada Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL 39) yang berlangsung di Axiara Arena malam tadi.
Menurut pemilik nama penuh Nurul Aina Abdul Ghani, 31, itu, jumlah sebenar tidak boleh dikongsi secara terperinci kerana khuatir menjadi sasaran pihak tertentu.
“Saya tak boleh kongsi amaun sebenar sebab akan ada ‘benda’ lain yang mengejar nanti.
“Tidaklah mencecah setengah juta, itu sudah seperti kos buat album atau bayar duit deposit pembelian rumah,” katanya pada sidang media selepas malam kemuncak AJL 39 di sini, semalam.
Dalam pada itu, dia mengakui perbelanjaan yang dikeluarkan itu adalah berbaloi sehingga berjaya memenangi trofi Persembahan Terbaik semalam.
“Kos yang banyak itu Alhamdulillah berbaloi sebab Allah beri rasa kemenangan untuk AJL39 kali ini.
“Namun, untuk AJL39 adalah yang paling banyak saya berhabis,” ujarnya yang pernah berhabis sekitar RM400,000 untuk persembahannya pada AJL38 tahun lalu.
Berkongsi lanjut, Aina berkata kemenangan tersebut juga hasil kerja keras seluruh pasukannya yang sudah berkerja keras sejak beberapa bulan lalu.
“Alhamdulillah dapat rasa ‘oh begini rasanya menang persembahan terbaik’.
“Saya bawa lebih 100 orang untuk seluruh pasukan bagi menyiapkan semua persiapan yang mengambil masa berbulan-bulan.
“Jadi, kemenangan ini juga adalah untuk mereka, daripada pasukan pentas, busana, lighting dan semua. Semua berjalan dengan lancar,” katanya yang menyarung busana rekaan Melinda Looi semalam.
Bercerita mengenai konsep jantung yang dibawanya ke pentas AJL39, dia memberitahu tiada konsep lain yang boleh difikirkan untuk lagu Puas Sudah.
“Saya tak fikir panjang ketika pilih konsep ini. Memang tak nampak warna lain untuk lagu ini selain merah.
“Saya hanya medium untuk menyampaikan cerita tentang ramai wanita yang terluka dan melalui banyak kesulitan hidup di luar sana. Begitu juga untuk para lelaki yang mungkin pernah terluka dalam hidup mereka.
“Jadi jantung adalah mesej terbaik untuk Sudah. Saya tampil sebagai jantung sebab ini selayaknya, memang tak boleh fikir tema lain,” jelasnya.
Semalam, Aina diumumkan sebagai pemenang Persembahan Terbaik AJL39 sekali gus membawa pulang wang tunai berjumlah RM12,000 berserta trofi. – KOSMO! ONLINE