fbpx

ASEAN perlu fokus tangani tiga cabaran utama – Anwar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar ketika hadir ke Persidangan China Asia Tenggara 2025 di Kuala Lumpur, hari ini. Foto oleh M.FIRDAUS M.JOHARI/ KOSMO!

KUALA LUMPUR – Ketahanan ekonomi ASEAN bergantung kepada sejauh mana negara anggota bertindak dalam menangani tiga cabaran utama dengan berkesan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, cabaran pertama ASEAN perlu memberi fokus dalam menangani isu gangguan dan kepelbagaian rantaian bekalan.

“ASEAN mesti menjadi hab perdagangan dan pelaburan global yang boleh dipercayai dengan mengurangkan kelemahan terhadap kejutan luar.

“Memperkukuh asas industri kita melalui pelaburan dalam pembuatan berteknologi tinggi, semikonduktor dan teknologi hijau adalah penting,” katanya pada Persidangan China Asia Tenggara 2025 di sini, hari ini.

Menurut Anwar, cabaran kedua melibatkan keselamatan tenaga dan kelestarian.

“Grid Tenaga ASEAN dan pelaburan dalam tenaga boleh diperbaharui akan menjadi teras dalam memastikan pertumbuhan ekonomi yang berpaksikan kesedaran iklim dan berorientasikan jangka panjang.

“Sasaran Malaysia untuk mencapai 70 peratus tenaga boleh diperbaharui menjelang 2050 akan menjadi penanda aras kepada usaha kelestarian ASEAN secara lebih luas,” katanya.

Bagi cabaran ketiga, Anwar memfokuskan berkaitan isu ekonomi digital dan kecerdasan buatan.

“Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN mesti menjadi pemangkin kepada transformasi serantau dengan memberi keutamaan kepada tadbir urus AI (kecerdasan buatan), keselamatan siber dan keterangkuman digital,” ujarnya.

“Bagi memastikan semua negara anggota ASEAN dapat memanfaatkan sepenuhnya kemajuan teknologi, kita mesti menetapkan piawaian bersama untuk perlindungan data, memudahkan perdagangan digital rentas sempadan dan melabur dalam inisiatif pembangunan kapasiti bagi merapatkan jurang digital,” ujarnya.

Tambah Anwar, Malaysia bersedia untuk memimpin ASEAN dengan kejelasan dan keyakinan.

“Namun, tanggungjawab kepimpinan bukan hanya terletak pada bahu kerajaan semata-mata. Sektor perniagaan, ahli akademik, usahawan, dan masyarakat sivil juga mesti memainkan peranan dalam membentuk masa depan yang inklusif, mampan, dan berdaya tahan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI