LEICESTER – Pertaruhan besar meletakkan pemain tengah bertahan, Mikel Merino di posisi penyerang memberi hasil positif buat Arsenal apabila berjaya membantu pasukan itu menang 2-0 ke atas Leicester City.
Pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) yang berlangsung di Stadium King Power malam kelmarin, Merino yang masuk sebagai pemain gantian untuk beraksi di posisi No. 9 menjadi wira The Gunners apabila meledak dua gol pada minit ke-81 dan 87.
Pengurus Arsenal, Mikel Arteta berkata, beliau berani melakukan ‘eksperimen’ itu kerana menaruh sepenuh kepercayaan dengan kemampuan Merino untuk menghidu peluang selain berada di posisi yang tepat.
“Perlawanan hari ini (kelmarin) merupakan peluang terbaik kami untuk menjawab segala persoalan mengenai masalah kecederaan yang sedang melanda pasukan. Saya gembira kerana kami berjaya mengatasinya dengan baik.
“Mikel (Merino) tidak pernah beraksi sebagai penyerang tetapi dia ada bakat selain mampu menghidu situasi berbahaya dan memanfaatkan setiap peluang. Kita tunggu dan lihat sama ada dia akan beraksi lagi (sebagai penyerang),” katanya.
Arsenal berdepan masalah kecederaan serius melibatkan barisan penyerang apabila Gabriel Jesus dan Kai Havertz terpaksa diketepikan dan perlu berehat sehingga saingan musim ini berakhir selain Gabriel Martinelli juga mengalami masalah hamstring.
Jurulatih dari Sepanyol itu juga mengakui, The Gunners memulakan perlawanan tidak seperti yang dirancang apabila bergelut untuk menembusi pintu gol Leiceter walaupun mendominasi sepenuhnya permainan.
“Secara jujur, kami menampilkan aksi berbeza dalam kedua-dua separuh masa. Kami memulakan perlawanan dengan agak perlahan, namun ia berjaya diperbaiki di separuh masa kedua dan menang,” kata Arteta. – AGENSI