SEPANG- Andalusia Travel and Tours Sdn. Bhd. (Andalusia) terus menyemarakkan tanggung sosial korporat (CSR) apabila menaja individu orang kurang upaya (OKU) yang tular akibat dipukul di Terengganu baru-baru ini menunaikan ibadah umrah di Tanah Suci.
Turut serta menerima tajaan itu ialah dua orang anak kepada Ahmad Nor Al Faizan Jusoh selain seorang imam masjid yang menjadi individu pengiring kepada OKU terbabit.
Pengarah dan Penasihat Undang-Undang Andalusia, Ida Riswana Idris berkata, hasrat pihaknya menaja Ahmad Nor Al Faizan bersama keluarga ke Tanah Suci bagi membuka peluang kepada beliau ‘bercerita’ kepada Maha Pencipta.
“Kita mahu dia yang mengalami nasib malang ekoran kejadian berlaku baru-baru ini dapat meminta doa kepada Allah, jadi kita beri peluang untuk beliau berada di depan kaabah.
“Itu antara sebab utama mengapa Andalusia menaja beliau ke Tanah Suci, kita mahu kongsi rezeki bersama mereka yang kurang bernasib baik,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini lewat malam tadi.
Mengulas lanjut, Ida Riswana berkata, pihaknya juga berharap agar Ahmad Nor Al Faizan akan mendapat ketenangan di Tanah Suci, sekali gus membolehkan dia menjalani kehidupan lebih baik pada masa depan.
“Selain itu, bagi tajaan tersebut, Andalusia memperuntukkan sebanyak RM7,000 untuk setiap individu di mana kami turut membawa dua orang anaknya bersama seorang imam masjid.
“Kami merasakan beliau perlu dikelilingi orang tersayang ketika berada di Tanah Suci, jadi tajaan itu turut melibatkan ahli keluarga dan imam masjid yang selalu dikunjunginya,” katanya.
Sementara itu, ketika ditanya adakah Andalusia akan terus melaksanakan CSR syarikat, Ida Riswana memberitahu, rezeki diperolehi pihaknya akan terus dikongsi bersama individu memerlukan.
“Insya-Allah CSR akan terus dilaksanakan, ia bukan sesuatu yang kami rancang, tetapi melihat kepada peluang yang ada untuk berkongsi rezeki,” jelasnya.
Untuk rekod, sebelum ini Kosmo! melaporkan individu OKU itu dipukul dan disepak oleh beberapa individu di Pasar Pagi Padang Astaka, Chukai, Terengganu pada pukul 9.30 pagi, 17 Januari lalu.
Ia dilaporkan berpunca rasa tidak puas hati selepas motosikal ditunggangi Ahmad Nor Al Faizan dikatakan terlanggar sebuah gerai di pasar pagi terbabit. – KOSMO! ONLINE