KUALA LUMPUR – Tampil membuat kejutan, Marsha Milan dinobatkan sebagai pemenang Anugera Juara Lagu ke-39 (AJL 39) yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, di sini, malam ini.
Kemenangan itu melayakkan Marsha atau nama sebenarnya Marsha Milan Londoh membawa pulang wang tunai RM100,000 bersama trofi utama.
Karya ciptaan Ikhwan Fatana itu merupakan runut bunyi bagi drama fenomena TV3 berjudul Aku Bukan Ustazah.
Sementara itu, wang tunai RM50,000 untuk naib juara AJL 39 pula menjadi milik Bukan Lagi Kita dendangan Nadeera.
Menduduki tempat ketiga adalah lagu Saksama nyanyian Akim & The Majistret sekali gus melayakkanya membawa pulang RM30,000 berserta trofi.
Trofi bagi Vokal Terbaik juga milik Ernie Zakri menerusi karya Aura membawa pulang RM12,000 berserta trofi.
Sementara itu, Aina Abdul diangkat sebagai penerima trofi Persembahan Terbaik menerusi persembahan menakjubkan apabila tampil dengan konsep jantung lagu Puas Sudah.
Lagu-lagu yang berentap di AJL 39 adalah Sengaja (Amir Masdi), Puas Sudah (Aina Abdul), Saksama (Akim & The Majistret), Diam (Hael Husaini), Hening Rindu (Marsha Milan) dan Aura (Ernie Zakri).
Turut bertanding, Pujaanku (Kugiran Masdo & Aisyah Aziz), Risiko (Benzoloo, Ghidd, Isobahtos, Meerfly, Tuju & MK K-Clique) serta Terus Bersinar (Hafiz Suip).
Persembahan 10 finalis AJL 39 diadili juri profesional termasuk Fauziah Latif, Datuk Fauziah Nawi, Datuk Hattan, Dato Ahmad Izham Omar, Ad Samad, LY, Edrie Hashim, Siti Hajar, dan Edry Abdul Halim sebagai ketua juri.
Hampir empat dekad penganjurannya, AJL bermatlamat memartabatkan industri muzik tanah air terutama memberi penghormatan kepada komposer dan penulis lirik.
Diangkat sebagai acara muzik tahunan, AJL 39 yang mengetengahkan Nada Rasa sebagai tema tahun ini dikendalikan Naz Ahmad bersama Sissy Imann selaku hos.
Malam kemuncak berkenaan turut diserikan persembahan pembukaan yang menggandingkan penyanyi Shiha Zikir, Wani Kayrie dan Ara Johari.
Lebih meriah apabila Sissy yang juga merupakan hos AJL 39 turut tampil bermain piano sambil terapung.
Persembahan penutup pula menyaksikan kemunculan Datuk M. Nasir, Sham Visa dan Ukays. – KOSMO! ONLINE
Keputusan Pemenang Anugerah Juara Lagu ke-39:
Juara keseluruhan: Marsha Milan (Hening Rindu)
Naib Juara: Nadeera (Bukan Lagi Kita)
Tempat Ketiga: Saksama (Akim & The Majistret)
Vokal Terbaik: Ernie Zakri (Aura)
Persembahan Terbaik: Aina Abdul (Puas Sudah)