PARANOID dan terlalu bimbangkan kesihatan Imane Lunara yang baru berusia dua bulan, pelakon Datin Intan Najuwa pernah bergegas ke hospital tiga kali dalam seminggu bagi mendapatkan kepastian dan rawatan buat anak kecilnya itu.
Intan atau nama sebenarnya, Intan Najuwa Abd. Wahid, 28, berkata, kerana kekerapan ke hospital atas sebab kecil, dia diberi amaran oleh doktor untuk lebih bertenang.
“Sebenarnya saya rasa anak macam ada berkahak sedikit, tapi saya punya menggelabah. Rasanya minggu ini (minggu lalu) saja sudah tiga kali saya ke hospital.
“Sikit tidak kena saja, saya akan ke hospital, tidak tahulah kenapa mungkin paranoid atau terlebih fikir sebab pertama kali menjadi ibu.
“Rasa bukan saya saja yang begini, ibu-ibu lain di luar sana pun sama. Sampai doktor kata anak saya okey barulah saya boleh tidur dengan tenang,” ceritanya.
Isteri kepada Datuk Ahmad Azraf Azman juga mendedahkan realiti bergelar seorang ibu tidak seindah yang dipamerkan dalam media sosial.
Akui Intan, menjadi ibu cukup memenatkan daripada segi mental dan fizikal meskipun mempunyai pengasuh dan pembantu rumah.
“Walaupun saya ada pengasuh dan pembantu rumah tetapi kita tidak boleh harapkan orang lain, sebaliknya kita sendiri harus memainkan peranan sebagai ibu
“Perkara itu yang penat bagi saya. Sebab itu, saya tabik hormat untuk ibu-ibu di luar sana yang tidak ada pembantu dan menguruskan anak sendiri, juga kepada yang ada anak lebih daripada seorang, kalian semua memang hebat,” katanya.
Ditemui pada majlis Ramadan Buffet Preview Bersama Rabbani & Friends di Ruang Rama Event Space Petaling Jaya. Intan turut memberitahu, dia tidak melepaskan anaknya kepada pengasuh 100 peratus. Sebaliknya, sebagai ibu dia akan memantau anaknya 24 jam bagi memastikan keselamatan dan mengelak daripada perkara tidak diingini berlaku.
Pantau 24 jam
“Walaupun ada pengasuh tetapi saya pantau 24 jam. Saya berehat daripada berlakon sebab ingin meluangkan masa dengan keluarga dan pantau pengasuh.
“Bukan tidak percaya, tetapi saya tidak letak 100 peratus kepercayaan untuk siapa sahaja yang mengasuh anak. Sejujurnya, saya memang agak psiko, sebab 24 jam memerhati anak.
“Sekarang dengan pelbagai kes, kita tidak tahu hati orang macam mana, sedangkan kita sendiri bila jaga anak pun geram apabila dia menangis atau meragam apatah lagi orang lain. Jadi, lebih baik saya ambil langkah berjaga-jaga,” jelasnya.
Menyentuh tentang karier lakonan, meski terasa rindu untuk kembali ke set penggambaran, pelakon drama Kekasih Paksa Rela itu terpaksa menolak tawaran yang hadir demi memberi perhatian kepada anak yang masih kecil.
“Tawaran ada cuma memang saya beritahu produksi bahawa saya sedang bercuti. Selepas saya boleh urus anak dan semuanya okey di rumah barulah saya akan kembali berlakon.
“Saya memang nak kembali bekerja. Cuma sekarang berilah saya masa dengan anak terlebih dahulu.
“Alhamdulillah, walaupun ada anak seorang, saya masih menerima tawaran lakonan sebagai heroin.
“Tetapi saya tidak menolak untuk karakter lebih berusia seperti seorang ibu muda kerana inilah diri saya sekarang,” tutur Intan.