PETALING JAYA – Sebanyak sembilan negeri dijangka berdepan cuaca buruk di sebelah petang hari ini terutama sekitar selatan Semenanjung.
Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) menerusi laporan cuaca di Facebook berkata, ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka melanda negeri Perak membabitkan daerah Kampar, Batang Padang dan Muallim.
“Selain itu, di Pahang melibatkan kawasan Tanah Tinggi Cameron dan Rompin serta beberapa daerah di Selangor, antaranya Hulu Selangor, Gombak dan Hulu Langat,” kata MetMalaysia.
Dalam laporan sama, MetMalaysia turut menjangkakan hujan lebat pada petang ini juga berisiko melanda Kuala Lumpur, Negeri Sembilan (Jelebu, Seremban, Port Dickson dan Rembau) serta Melaka (Alor Gajah dan Melaka Tengah).
“Bagi negeri Johor pula, kawasan yang diramal berdepan cuaca buruk petang ini adalah Segamat, Kluang, Mersing, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru.
“Keadaan sama juga berlaku sekitar Sarawak meliputi bahagian Kuching, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu (Kanowit) dan Kapit (Song).
“Di Sabah melibatkan Pedalaman (Nabawan), Pantai Barat (Papar, Putatan, Penampang, Kota Kinabalu, Tuaran dan Kota Belud), Tawau, Sandakan (Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan) dan Kudat,” lapor MetMalaysia. – KOSMO! ONLINE