fbpx

60,000 metrik tan minyak masak peket mencukupi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kuota 60,000 metrik tan sebulan bagi minyak masak peket bersubsidi di pasaran tempatan adalah mencukupi untuk menampung bekalan kepada pengguna di negara ini.

KUALA LUMPUR – Kuota 60,000 metrik tan sebulan bagi minyak masak peket bersubsidi di pasaran tempatan adalah mencukupi untuk menampung bekalan kepada pengguna di negara ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh berkata, ini berdasarkan kadar penggunaan minyak masak peket yang telah dikenal pasti penerima manfaat subsidi tersebut.

Menurutnya, jualan minyak masak peket bersubsidi tersebut bermula pada tahun 2007 yang bertujuan membantu keluarga isi rumah bagi kegunaan domestik.

“Pada Julai 2022, Yang Berhormat Bera (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika menjadi Perdana Menteri) telah panjangkan kegunaan minyak masak bersubsidi kepada industri mikro.

“Mengikut data Jabatan Perangkaan (DOSM), kita tengok jumlah 7.9 juta isi rumah dengan keperluan satu isi rumah 4.8 kilogram minyak masak sebulan. Kalau ambil paling bawah 80 peratus isi rumah, jumlah adalah 30.3 metrik tan sebulan.

“Data DOSM 2023 pula kalau kita beri kepada industri mikro seperti penjaja dan penjual pasar malam, jumlah kita perlukan 21,285 metrik tan. Maksudnya 60,000 metrik tan minyak masak peket bersubsidi ini mencukupi,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Cha Kee Chin (PH-Rasah) berhubung sama ada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup bersedia untuk meningkatkan kuota 60,000 metrik tan minyak masak peket bersubsidi di pasaran runcit.

Fuziah berkata, kerajaan telah membelanjakan RM1.945 bilion pada 2024 termasuk RM845 juta yang telah diperuntukkan dalam Belanjawan 2024 dan RM1.1 bilion bagi tambahan perbekalan minyak masak.

Katanya, pihaknya turut melaksanakan pelbagai langkah bagi memastikan bekalan minyak masak peket bersubsidi itu mencukupi di pasaran.

“Kita hadkan tiga peket sekali beli, kita beri arahan pengawal bekalan eksport serta melarang eksport minyak masak.

“Selain itu, kita ada Sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (eCOSS) untuk mengesan perjalanan minyak masak,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI