KUCHING – Lima buah sekolah di empat daerah di Sarawak tidak dapat beroperasi pada pembukaan sesi persekolahan 2025/2026 hari ini, disebabkan peralatan dan kemudahan sekolah mengalami kerosakan teruk akibat dilanda banjir baru-baru ini.
Pengarah Pendidikan Sarawak, Omar Mahli berkata, sekolah terbabit ialah SK Kampung Klid dan SK St Luke Ng Baoh di Dalat, SK Kuala Kenyana di Mukah, SK Kuala Muput di Tatau serta SK Ulu Kabo di Saratok.
“Buat masa ini, sekolah-sekolah ini melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
“Para guru juga telah menyediakan bahan pembelajaran bagi memastikan pelajar tidak ketinggalan dalam pelajaran,” katanya ketika ditemu-bual selepas mengadakan lawatan ke SK Jalan Haji Baki di sini sempena pembukaan Sesi Akademik 2025/2026, hari ini.
Beliau berkata, kerja-kerja pembersihan, pembaikan serta penggantian perabot di sekolah-sekolah terbabit dijangka dapat diselesaikan dalam tempoh seminggu dan ia akan dibuka sebaik semuanya selesai.
Sehubungan itu, katanya ketika ini sebanyak 1,460 sekolah beroperasi di Sarawak iaitu 194 sekolah menengah dan 1,266 sekolah rendah. – KOSMO! ONLINE