JOHOR BAHRU – Seramai 105 warga asing dicekup oleh Jabatan Imigresen (JIM) Johor dalam Ops Sapu selepas menggempur rumah kongsi pekerja di Batu Pahat, semalam.
Pengarah JIM Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, kesemua warga asing daripada pelbagai latar belakang itu berusia antara 18 hingga 54 tahun.
Katanya, operasi itu dilakukan berikutan maklumat dan aduan awam berhubung warga asing yang bekerja tanpa pas/permit serta tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.
“Tindakan diambil susulan aduan awam berhubung warga asing yang dipercayai tinggal di penempatan rumah kongsi tersebut tanpa pas/permit yang sah. Dalam operasi itu, seramai 329 warga asing telah diperiksa.
“Kesemua mereka yang ditahan adalah 77 lelaki warga Bangladesh, 16 lelaki dan tujuh wanita warganegara Indonesia, dua lelaki warganegara Myanmar, dua lelaki warganegara Pakistan serta seorang lelaki warganegara India,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Mohd. Rusdi, semua ditahan disyaki melakukan kesalahan bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tidak memiliki sebarang pas atau permit yang sah untuk berada di Malaysia.
“Mereka juga ditahan mengikut Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tinggal lebih masa,” katanya.-KOSMO! ONLINE