PETALING JAYA – Enggan dibayangi kesedihan, suami kepada pelakon Ayu Raudhah mahu menjual meja snuker yang menjadi saksi usahanya menyelamatkan nyawa anak bongsunya, Allahyarham Muhammad Aisy Al Raees yang meninggal dunia pada 11 Februari lalu.
Menurut Mohamad Zaquan Adha Abd. Radzak yang juga bekas pemain skuad kebangsaan, meja snuker tersebut merupakan tempat dia meletak dan memberi bantuan penafasan (CPR) kepada Raees pada hari kejadian.
“Saya nak jual meja ini sebab di atas inilah saya dan Ayu letak baby Raees untuk buat CPR.
“CPR sementara menunggu ambulans sampai,” katanya dalam Instagram.
Katanya, dia mahu menjual meja snuker tersebut kerana kerap teringat detik cemas ketika menyelamatkan Raees.
“Selagi ada meja ini, saya akan sentiasa teringat saat-saat ketika mencuba sedaya upaya untuk menyelamatkan Raees.
“Jika ada yang betul-betul berminat, boleh hubungi saya,” ujarnya.
Dalam perkongsian lain, Zaquan menyifatkan percutian keluarganya baru-baru ini merupakan peluang yang Tuhan beri untuk mereka menghabiskan sisa masa bersama.
“Bila fikir semula, Allah SWT bagi kani peluang sekeluarga bercuti bersama-sama dengan Raees sebelum dia pergi buat selama-lamanya meninggalkan keluarga besar kami.
“Terima kasih ya Allah,” jelasnya.
Terdahulu, Zaquan berkongsi berita duka mengenai pemergiaan anak ketujuhnya menerusi Instagram pada 11 Februari lalu.
Enggan mendedahkan punca kematian sebenar, Raees difahamkan tidak mempunyai sebarang penyakit dan menghembuskan nafas terakhir ketika tidur di kediamannya di Negeri Sembilan.
Muhammad Aisy Al Rees selamat dilahirkan pada 2 Ogos tahun lalu.
Selain Raees, Ayu dan Zaquan yang mendirikan rumah tangga pada 21 Januari 2011 turut mempunyai enam cahaya mata lain iaitu Muhammad Aisy Qaiser, 12, Muhammad Aisy Aryann, 11, Laura Zuleykha, 8, Muhammad Aisy Khaliq, 6, Muhammad Aisy Al Jibreel, 3, dan anak keenam yang kini berusia setahun. – KOSMO! ONLINE