PASIR MAS – Selepas lebih dua minggu, seorang wanita warga emas yang dipercayai menyamar sebagai tetamu sebelum melarikan beg tangan berisi wang berjumlah RM2,500 pada majlis kesyukuran di sebuah rumah di Kampung Tasek Berangan di sini pada 1 Februari lalu akhirnya dicekup hari ini.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Kama Azural Mohamed berkata, suspek yang berusia 61 tahun ditahan kira-kira pukul 5.04 petang tadi di depan sebuah masjid di Jalan Seri Cemerlang, Kota Bharu dekat sini semasa menaiki sebuah teksi dipandu rakannya berusia 63 tahun.
Menurutnya, teksi jenis Nissan Sentra itu pada awalnya dilihat dipandu dalam keadaan mencurigakan pada pukul 2.35 petang sebelum pihak polis mengekori dan menahan kereta tersebut.
“Pemeriksaan tubuh badan wanita dan lelaki itu tidak menjumpai barangan yang menyalahi undang-undang.
“Siasatan awal terhadap wanita warga emas itu mendapati, suspek mengaku mencuri wang sebanyak RM2,500 semasa berada di kenduri rumah mangsa,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Kama Azural memberitahu, hasil pemeriksaan, warga emas itu mempunyai 10 rekod lampau berkait kes menceroboh rumah, mencuri di dalam rumah, sekatan buang daerah (PCO) yang dihadkan, meragut dan mencuri.
Menurutnya, kesemua rekod lampau itu melibatkan kesalahan yang dilakukan di pelbagai lokasi di Kelantan dan Terengganu manakala PCO pula di Slim River, Perak.
“Pemandu teksi yang merupakan rakan wanita tersebut turut mempunyai satu rekod jenayah lampau berkait kes mencuri di Kota Bharu.
“Ujian saringan air kencing terhadap kedua-dua suspek mendapati mereka negatif daripada penyalahgunaan dadah,” ujarnya.
Kama Azural berkata, justeru, pihak polis akan membuat permohonan perintah tahanan reman terhadap kedua-dua suspek di Mahkamah Majisret Pasir Mas di sini pada pukul 8 pagi esok untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.
Kosmo! Online sebelum ini melaporkan, majlis kesyukuran anjuran sebuah keluarga di Pasir Mas bertukar suram apabila beg tangan berisi wang berjumlah RM2,500 telah dilarikan oleh seorang wanita yang menyamar sebagai tetamu pada 1 Februari lalu.
Berdasarkan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) yang tular, wanita berkenaan dilihat mengambil beg tangan berwarna putih di atas sebuah kabinet dan terus berlalu pergi.
Sehubungan itu, pihak polis dapat mengenal pasti suspek yang terlibat dan mendapati alamat terakhir warga emas itu di Jalan Dusun Muda, Kota Bharu dekat sini. – KOSMO! ONLINE