PUTRAJAYA – Permohonan Pertukaran Lesen Memandu Percubaan (PDL) Kepada Lesen Memandu Kompeten (CDL) boleh dilakukan secara digital melalui aplikasi MyJPJ bermula esok.
Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, pengenalan fungsi baharu tersebut bertujuan memudahkan orang ramai membuat permohonan CDL secara dalam talian, tanpa perlu hadir ke kaunter JPJ.
Ujar beliau, dengan adanya fungsi baharu ini, seramai 2,383,043 pemegang lesen PDL boleh melaksanakan permohonan CDL melalui Aplikasi MyJPJ pada bila-bila masa dan di mana sahaja, menerusi telefon pintar mereka.
“Fungsi baharu permohonan CDL melalui aplikasi MyJPJ mempunyai kelebihan kelebihan seperti mudah dan cepat di mana proses permohonan CDL menjadi lebih mudah dan cepat dengan hanya beberapa langkah di aplikasi MyJPJ.
“Pemohon tidak perlu lagi meluangkan masa untuk pergi ke kaunter JPJ dan permohonan boleh dibuat pada bila-bila masa dan di mana sahaja,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Aedy, aplikasi MyJPJ direka dengan antara muka yang mesra pengguna, memudahkan semua golongan untuk menggunakan fungsi baharu ini.
“JPJ Malaysia berharap inisiatif ini akan mempermudahkan urusan pemilikan Lesen Memandu Malaysia (LMM) secara digital tanpa mengambil masa yang lama seterusnya salah satu usaha JPJ untuk mengurangkan kesesakan kaunter.
“Pihak JPJ sentiasa komited untuk meningkatkan kualiti dan mutu penyampaian perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat,” katanya. – KOSMO! ONLINE