PETALING JAYA – “Petang tadi Allah nak uji diri ini. Apabila seorang kawan WhatsApp minta pinjam sedikit duit nak beli barang sekolah anak. Esok dah mula sekolah tapi nak maghrib, dia tak beli apa-apa lagi keperluan anak-anak dia. Saya rasa nak menangis.”
Itu kisah sedih yang dikongsikan seorang individu apabila berdepan dengan sahabat yang ingin meminjam wang sebanyak RM200 daripadanya kerana tidak berkemampuan untuk menyediakan kelengkapan sekolah anak-anak.
Menggunakan profil @adinda_fara di Threads, wanita itu berkata, sebelum itu temannya itu sudah cuba untuk meminjam daripada orang lain namun gagal.
“Dia beritahu dah tanya ramai orang tapi orang lain pun ada anak nak masuk sekolah juga memang tak ada duit. Pilihan terakhir dia minta tolong dengan saya walaupun beritahu dia sangat malu.
“Susah kita ada lagi orang yang susah daripada kita. Bab anak ni memang kita sebagai ibu memang tak boleh la,” katanya.
Hantarannya itu mendapat perhatian orang ramai yang berkongsi pernah berhadapan dengan perkara serupa.
“Saya pun ada kawan minta pinjam. Tak banyak soal saya tolong sebab fikir anak-anak dia sekarang. Sekarang saya dalam kesusahan kena buang kerja, minta tolong dia. Dia marah saya sebab minta pinjam untuk beli susu, sedangkan dia pinjam dulu saya cakap tak perlu bayar. Menyesal bantu dia,” kongsi @ainaahusna.
“Sama la situasi kami. Tapi saya kalau boleh tak nak pinjam orang, malu. Masih boleh jual barang rumah, (ada) tabung duit. Kehidupan sentiasa ada turun naik. Macam ni la dugaan besarkan anak,” komen seorang lagi pengguna.
“Kasihannya dengar. Memang mencabar cuma setengah orang dia tak nak meminta-minta tetapi kadang-kadang situasi mendesak,” ujar seorang lagi netizen. – KOSMO! ONLINE