fbpx

Tekong darat caj RM4,500 sekepala seludup PATI Myanmar ke Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pangkalan haram di Rantau Panjang merupakan antara lokasi tekong darat menyeludup PATI Myanmar masuk ke negara ini. - GAMBAR HIASAN

KOTA BHARU – Pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar dipercayai membayar pakej sebanyak RM4,500 kepada tekong darat untuk membawa mereka masuk secara haram ke Malaysia dari negara asal.

Pengarah Jabatan Imigresen (JIM) Kelantan, Mohamed Yusoff Khan Mohd. Hassan berkata, jumlah tersebut dimaklumkan oleh salah seorang PATI warga Myanmar yang ditahan semasa operasi JIM baru-baru ini.

Menurutnya, harga yang ditetapkan oleh tekong darat itu melibatkan kos perjalanan PATI bermula dari Myanmar sebelum dibawa masuk melalui jalan darat ke Thailand seterusnya merentas Sungai Golok melalui pangkalan haram.

“Siasatan mendapati, kos RM4,500 sekepala yang ditetapkan oleh tekong darat turut melibatkan perjalanan mereka untuk mencari pekerjaan di Selangor, Kuala Lumpur dan Johor.

“Kebiasaannya, mereka akan dibawa ke negeri-negeri terbabit untuk bekerja dalam sektor perkilangan dan pembinaan. Penentuan sektor pekerjaan itu juga bergantung kepada kewarganegaraan PATI tersebut,” katanya kepada pemberita selepas sesi suai kenal dan sarapan pagi bersama pengamal media Kelantan di sebuah kafe di sini hari ini.

Mohamed Yusoff Khan (dua dari kiri) berbual-bual dengan pemberita yang hadir pada sesi suai kenal dan sarapan pagi bersama pengamal media Kelantan di sebuah kafe di Kota Bharu hari ini.

Mohamed Yusoff Khan memberitahu, bayaran itu dipercayai turut dibahagikan kepada tekong darat yang menguruskan perjalanan mereka di Thailand.

Menurutnya, siasatan mendapati, tekong darat dari negara ini yang terlibat dengan kegiatan menyeludup PATI dipercayai mempunyai rangkaian dengan sindiket di Thailand.

“Mengikut maklumat yang diperoleh, tekong darat yang terlibat bukan hanya melibatkan rakyat Kelantan, malah ada yang datang dari Pahang dan Selangor untuk mengangkut PATI di pangkalan haram.

“Siasatan mendapati, kegiatan membawa PATI masuk ke negara ini merupakan perniagaan yang mampu memperoleh hasil lumayan meskipun risikonya tinggi.

“Tekong darat menetapkan pakej RM4,500 untuk seorang PATI. Sebelum ini, kita menangkap seramai 21 PATI warga Myanmar dalam satu operasi. Jadi, kita boleh kira berapa anggaran yang mereka tetapkan dan terima hasil daripada melakukan pekerjaan tersebut,” ujarnya.

Tambah beliau, meskipun lumayan, tekong darat berdepan dengan hukuman berat iaitu penjara dan denda di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007 sekiranya ditangkap. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI