CHANGLUN – Lebih 1,400 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Dato’ Wan Kemara, di sini teruja apabila dikejutkan dengan kemunculan ‘Spiderbusker’.
Lebih menarik apabila Spiderbusker itu turut menghiburkan murid yang memulakan sesi persekolahan baharu hari ini dengan persembahan ‘busking’ selama hampir sejam bagi menyambut kehadiran mereka.
Guru penyelaras, Zulkifli Ismail berkata, pihak sekolah menjemput individu berkenaan yang dikenali Spiderbusker untuk menghiburkan sekali gus menceriakan murid terutama yang baru memasuki alam persekolahan hari ini.
“Idea ini dicetuskan oleh guru besar, Mohd. Nizam Saidin bertujuan mencipta keunikan selain menceriakan murid terutama darjah satu.
“Spiderbusker menjadi pilihan kerana dia dikenali ramai sekali gus diharapkan menggembirakan pelajar dan ibu bapa yang hadir hari ini,” katanya ketika ditemui di pekarangan SK Dato’ Wan Kemara, di sini hari ini.
Menurutnya, sekolah berkenaan menerima kemasukan 217 murid darjah satu yang memulakan alam persekolahan baharu hari ini.
“Kami membuat persediaan bermula 6.45 pagi dengan menyambut murid dan ‘busking’ bermula pukul 7 hingga 7.45 pagi. Ini juga salah satu daripada ‘fun learning’ untuk mereka. Alhamdulillah, mereka teruja dan gembira,” katanya.
Dalam pada itu menurut pemilik maskot Spiderbusker yang dikenali sebagai Roy, 35, ia merupakan kali pertama dia melakukan busking di sekolah. – KOSMO! ONLINE