fbpx

Siasatan terhadap Hejira Travel masih diteruskan, kes dirujuk bersama MOTAC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ramli

PETALING JAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menegaskan masih meneruskan siasatan terhadap syarikat pengendali umrah, Hejira Travel & Tours Holding Sdn. Bhd.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pihaknya menerima 141 laporan membabitkan kerugian RM3,015,412 sehingga 7 Februari.

Beliau berkata, susulan itu siasatan masih lagi diteruskan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Ujarnya, syarikat tersebut turut berdaftar dan berlesen di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk menjalankan aktiviti umrah dari tahun 2023 sehingga Mac 2027.

“Jadi sebahagian laporan polis turut dirujuk kepada pihak MOTAC sebagai agensi penguat kuasa yang bertanggungjawab untuk melaksanakan tindakan di bawah Akta Industri Pelancongan 1992.

“Siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan tetap diteruskan walaupun sebahagian laporan polis dirujuk kepada MOTAC,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian bagi merujuk kepada sidang akhbar diadakan oleh sekumpulan aktivis semalam yang mendesak pihak polis untuk menjalankan siasatan lanjut.

Ramli berkata, kenyataan oleh aktivis tersebut memberi gambaran seolah-olah tiada siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dilakukan oleh PDRM.

“Kenyataan ini adalah tidak benar, tidak bertanggungjawab dan memberikan persepsi buruk kepada PDRM.

“Perlu diketahui bahawa undang-undang negara ini memperuntukkan kuasa siasatan yang berbeza kepada agensi penguat kuasa yang berlainan,” ujarnya.

Tambah Ramli, justeru kesalahan yang termaktub di dalam undang-undang tertentu hendaklah disiasat oleh agensi yang dipertanggungjawabkan agar tindakan lebih tepat serta sesuai dapat dilaksanakan.

Terdahulu, polis sudah menahan lapan individu termasuk pasangan suami isteri yang juga pemilik agensi pelancongan, bagi membantu siasatan kes penipuan pakej umrah.

Sebelum ini, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, modus operandi yang digunakan oleh suspek untuk memperdayakan mangsa melalui iklan di aplikasi Tik Tok tentang pakej umrah dan berhubung dengan ejen yang dilantik oleh syarikat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI