BEIJING – Pihak berkuasa Luliang, wilayah Shanxi akan memberikan ganjaran sebanyak 1,500 yuan (RM900) kepada pasangan yang mendaftarkan perkahwinan mereka di bandar itu, lapor portal Global Times semalam.
Inisiatif itu merupakan sebahagian daripada siri subsidi yang bertujuan menggalakkan rakyat untuk berkahwin dan meningkatkan kelahiran bayi.
Bandar itu juga menawarkan insentif lain seperti subsidi dan insurans kesihatan kepada bayi baru lahir.
Pada masa sama, keluarga yang memenuhi garis panduan dasar berkenaan turut akan mendapat manfaat.
Pasangan yang mempunyai anak pertama akan menerima 2,000 yuan (RM1,200), anak kedua 5,000 yuan (RM3,000), manakala 8,000 yuan (RM4,900) untuk anak ketiga.
Dasar berkenaan telah berkuat kuasa bermula 1 Januari lalu. – AGENSI