BEIRUT – Pihak berkuasa Lebanon menyatakan semalam bahawa lebih 25 orang ditangkap susulan serangan ke atas konvoi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mencederakan dua anggota pasukan pengaman, termasuk timbalan komander.
Pegawai PBB dan Lebanon mengutuk serangan kelmarin, yang berlaku ketika penyokong Hezbollah menyekat jalan ke lapangan terbang antarabangsa tunggal negara itu untuk malam kedua. Ia berikutan keputusan kerajaan Lebanon menghalang dua penerbangan Iran daripada mendarat.
Pada semalam, seorang wartawan AFP berkata, gas pemedih mata dilepaskan untuk menyuraikan orang ramai yang sekali lagi menghalang jalan ke lapangan terbang selepas kumpulan yang disokong Iran itu menggesa mereka untuk melakukan protes.
Menteri Dalam Negeri, Ahmad al-Hajjar memberitahu pemberita bahawa lebih 25 orang telah ditangkap oleh perisikan tentera Lebanon, manakala seorang lagi ditahan oleh perkhidmatan keselamatan.
“Ini tidak bermakna mereka melakukan serangan tetapi siasatan akan menentukan siapa yang bertanggungjawab,” katanya.
Pasukan Interim PBB di Lebanon (UNIFIL) menuntut penyiasatan penuh dan segera selepas salah satu kenderaannya dibakar dalam serangan itu.
Ia mencederakan timbalan komander pasukan, Chok Bahadur Dhakal, yang sedang dalam perjalanan pulang ke Nepal selepas menyelesaikan misinya.
Timbalan jurucakap UNIFIL, Kandice Ardiel memberitahu AFP bahawa seorang lagi tentera pengaman, juga dari Nepal turut cedera.
Video yang tersebar di media sosial menunjukkan penunjuk perasaan dengan ada antaranya membawa bendera Hezbollah, menyerang seorang lelaki berpakaian tentera dan seorang lagi berpakaian awam berhampiran kenderaan UNIFIL yang dibakar.
Sehingga kini, masih tidak jelas siapa yang bertanggungjawab dalam serangan itu. – AFP