PETALING JAYA – Lembaga Getah Malaysia (LGM) merampas 196 palet berisi sarung tangan getah sekerap sebanyak 13,000 karton berserta beberapa sitaan lain dalam serbuan di sebuah premis di Klang.
Keseluruhan rampasan bernilai RM346,000 itu dilaksanakan menerusi operasi bersepadu bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor Khamis lalu.
LGM dalam kenyataannya berkata, premis itu dipercayai menjalankan aktiviti membeli, menyimpan dan menjual sarung tangan getah ditolak (rejected gloves) dan sarung tangan getah sekerap (scrap gloves) tanpa permit yang sah.
Katanya, premis itu juga menyalahgunakan tanda bungkusan dengan meletakkan tanda ‘Made in Malaysia’ pada kotak bagi sarung tangan getah yang tidak dihasilkan di Malaysia (sumber import).
“Aktiviti ini merupakan satu kesalahan yang melanggar Peraturan-Peraturan Lembaga Getah Malaysia (Pelesenan dan Permit) 2014 di bawah Peraturan 22(1)(b) dan 58.
“Jika didapati bersalah atas kedua-dua kesalahan itu, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM80,000 atau penjara tidak melebihi dua hingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Tambah kenyataan itu, Pihak LGM sedang giat menjalankan operasi bersepadu bagi mengawal selia keseluruhan rantaian industri getah yang beroperasi.
“Ini bagi membanteras aktiviti haram premis sarung tangan getah serta penyalahgunaan tanda bungkusan ‘Buatan Malaysia’ demi menjaga imej industri getah negara.
“Orang awam dialu-alukan untuk membuat sebarang aduan berkaitan pelesenan dan penguatkuasaan dalam industri getah kepada LGM melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) LGM menerusi pautan https://lgm.spab.gov.my/eApps/system/index.do,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE