PASIR PUTEH – Sekolah Kebangsaan (SK) Cherang Ruku di sini meneruskan tradisi dengan membawa kostum robot untuk menceriakan hari pertama murid prasekolah pada sesi hari pertama persekolahan hari ini.
Sekolah tersebut kali ini membawa kostum bagi karakter Herbie iaitu sebuah kereta jenis Volkswagen Beetle klasik yang ditukarkan kepada robot.
Guru Prasekolah SK Cherang Ruku, Norhayati Daud berkata, acara tradisi yang bermula seawal pukul 6.50 pagi merupakan salah usaha menarik minat pelajar prasekolah.
“Kita benarkan ibu bapa bergambar merakam kenangan anak-anak mereka yang pertama kali melangkah masuk di alam persekolahan,” katanya ketika ditemui Kosmo! di SK Cherang Ruku di sini hari ini.
Sementara itu, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SK Cherang Ruku, Mohd. Fadhil Jaffar memberitahu, selain murid prasekolah, robot berkenaan turut menjadi tumpuan pelajar-pelajar lain.
Katanya, lebih 800 murid sekolah itu yang memasuki penggal baharu sekolah berpeluang melihat pelbagai jenis watak robot yang bertukar setiap tahun.
“Kita turut mendapat sokongan daripada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang turut menampung separuh kos untuk perkhidmatan sewaan kostum tersebut.
“Kostum itu ditampilkan untuk memberikan inspirasi dan daya fikir berkaitan dengan dunia robotik. SK Cherang Ruku juga ada pelajaran berkaitan dengan robotik,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE