BEIRUT – Penyokong Hezbollah melakukan demonstrasi selama tiga malam berturut-turut dengan menyekat jalan utama ke lapangan terbang antarabangsa Beirut bagi membantah keputusan kerajaan Lebanon menghalang dua penerbangan Iran daripada mendarat, lapor agensi berita United Press International.
Beberapa hari lalu, Lebanon melarang penerbangan Iran, Manan Air mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Rafic Hariri selepas Israel menuduh ia membawa wang tunai bernilai jutaan ringgit untuk Hezbollah.
Israel menuduh Iran cuba menyeludup wang tunai dan senjata kepada Hezbollah dengan penerbangan awam melalui lapangan terbang antarabangsa tunggal negara itu.
Jurucakap tentera Israel, Avichay Adraee berkata menerusi catatan di laman X pada Khamis lalu bahawa maklumat itu disampaikan kepada jawatankuasa diketuai Amerika Syarikat (AS) yang menyelia gencatan senjata untuk menamatkan perang antara Israel dan Hezbollah.
Larangan itu menyebabkan kira-kira 350 penumpang terkandas di Tehran sekali gus mendorong penyokong Hezbollah berarak dan menyekat pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Rafic Hariri pada Khamis lalu.
Protes itu masih berterusan, di mana pada kelmarin, orang ramai menyerang konvoi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lebanon (UNIFIL) yang ketika itu membawa pasukan pengaman ke lapangan terbang.
Sebuah kenderaan UNIFIL dibakar, manakala beberapa anggota pasukan pengaman termasuk timbalan komander pasukan, Chok Bahadur Dhakal, cedera dan dikejarkan ke hospital untuk rawatan.
Sementara itu, tentera Lebanon melepaskan gas pemedih mata untuk menyuraikan penunjuk perasaan, mengakibatkan sebilangan penunjuk perasaan pengsan. Tembakan juga kedengaran di kawasan itu.
Tentera Lebanon mengeluarkan amaran pada petang kelmarin terhadap tindakan yang boleh meningkatkan ketegangan dalaman, ketika negara itu mengharungi tempoh kritikal.
Dalam satu kenyataan, tentera melaporkan bahawa beberapa kawasan khususnya di sekitar Lapangan Terbang Antarabangsa Rafic Hariri di Beirut, telah menyaksikan protes melibatkan vandalisme, serangan ke atas pasukan keselamatan dan percubaan untuk menyekat akses lapangan terbang. – AGENSI