KUALA NERANG – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) menggagalkan cubaan menyeludup masuk produk babi, ayam dan ikan sejuk beku dianggarkan bernilai RM95,300 di Kota Putra, Durian Burung, dekat sini kelmarin.
Pengarah Maqis Kedah, Hisham Abu Bakar berkata, kejayaan merampas 4,130 kilogram (kg) produk tanpa permit di pintu masuk negara itu adalah hasil kerjasama Pasukan Gerakan Am (PGA).
“Pemeriksaan rapi oleh pasukan penguat kuasa kira-kira pukul 6.45 petang, kelmarin ke atas sebuah lori menemui produk babi, ayam dan ikan sejuk beku.
“Semua produk tersebut didapati tidak mempunyai permit, sijil kesihatan dan dokumen sah daripada Maqis,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Katanya, perbuatan itu merupakan pelanggaran serius di bawah Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) dan semua barang rampasan ditahan untuk siasatan serta tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 11(1) Akta 728 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam tahun, denda maksimum RM100,000 atau kedua-duanya bagi pesalah yang disabitkan kesalahan,” ujarnya.
Tambahnya, penguatkuasaan berterusan adalah sebahagian usaha Maqis dalam mengekang kemasukan barang pertanian secara haram yang boleh mengancam ekosistem dan kesejahteraan masyarakat. – KOSMO! ONLINE