KUALA LUMPUR – Pindaan terhadap Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) tidak akan menjejaskan kebebasan bersuara dalam talian, sebaliknya bertujuan menangani jenayah siber yang semakin berleluasa.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, pindaan itu memberi tumpuan kepada isu-isu seperti buli siber, penipuan dalam talian serta aktiviti judi yang semakin membimbangkan.
“Hak kebebasan bersuara dijamin di bawah Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan, tetapi ia masih tertakluk kepada undang-undang sedia ada yang digubal oleh Parlimen.
“Dalam pindaan terbaharu ini, istilah jelik yang sebelum ini digunakan dalam undang-undang telah diperhalusi kepada jelik melampau bagi mengelakkan tafsiran yang terlalu luas,” katanya pada sidang akhbar selepas Program Temu Anak Muda Lembah Pantai, hari ini.
Selain itu, katanya, pindaan tersebut turut memperincikan huraian istilah berkaitan bagi memastikan ia lebih jelas dalam hujahan mahkamah, sama ada bagi pihak pendakwaan atau pembelaan.
Fahmi turut memaklumkan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia telah mengambil keterangan lapan individu yang dipercayai menyebarkan berita palsu berkaitan Institusi Diraja, khususnya Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja baru-baru ini.
Jelasnya, jika siasatan mendapati terdapat bukti kukuh, tindakan undang-undang akan diambil terhadap mereka.
“Saya ingin mengingatkan semua pihak agar lebih berhati-hati dalam menerima dan menyebarkan sebarang maklumat, terutama di media sosial,” tegasnya.
Terdahulu media melaporkan, pindaan terhadap Akta 588 mula berkuat kuasa selepas diwartakan pada 7 Februari lepas.
Kementerian Komunikasi dalam kenyataan memaklumkan, pindaan terhadap akta itu yang diluluskan di Dewan Rakyat pada Disember tahun lepas menyediakan ekosistem rangkaian internet lebih selamat dan mampan kepada pengguna. – KOSMO! ONLINE