MADRID – Sebuah pesawat Jet2 terpaksa melakukan pendaratan cemas selepas seorang penumpang mengalami komplikasi kesihatan ketika berada di udara sebelum meninggal dunia, lapor akhbar The Sun UK semalam.
Kejadian itu melibatkan penerbangan LS676 selepas ia berlepas pada pukul 7.05 malam (waktu tempatan) dari Lapangan Terbang Tenerife Selatan ke Lapangan Terbang Nottingham, United Kingdom kelmarin.
Pesawat itu terpaksa mendarat cemas di Lapangan Terbang Santiago-Rosalia de Castro selepas salah seorang penumpang memerlukan rawatan kecemasan.
“Kerakyatan penumpang tersebut tidak diketahui, namun dia dipercayai berusia dalam lingkungan 70-an.
“Lelaki itu disahkan meninggal dunia sebaik tiba di landasan,” tambah syarikat penerbangan itu.
Media tempatan melaporkan: “Juruterbang segera memaklumkan perkara tersebut kepada pusat kawalan trafik udara.
“Pesawat terpaksa dilencongkan selepas penumpang itu mengalami masalah kesihatan yang serius dan memerlukan rawatan segera,” tambahnya. – AGENSI