NEW DELHI – Seorang lelaki di India menerima kecaman ramai selepas menguli doh menggunakan air berwarna karat di sebuah restoran, lapor portal berita Times of India semalam.
Rakaman dimuat naik di platform Instagram oleh akaun @kamal_girl_maharaj memaparkan lelaki itu sedang menguli tepung dengan kedua-dua tangannya.
Doh tersebut bukan sahaja diuli di kawasan yang kotor, malah digaul dengan air berwarna perang menyerupai warna teh.
“Doh ini diuli dengan air kotor dan ini bukan perkara yang baik. Orang ramai datang untuk makan di sini,” kata perakam video itu.
Meskipun dimarahi, tukang masak itu hanya mendiamkan diri sebelum beredar.
Rakaman itu mencatatkan lebih 662,000 tontonan dan menimbulkan pelbagai reaksi daripada pengguna media sosial.
“Saya sudah faham kenapa selalu sakit perut,” kata seorang pengguna media sosial. – AGENSI