CHANGLUN – Kehadiran sepasang kembar di samping 217 murid darjah satu Sekolah Kebangsaan (SK) Dato’ Wan Kemara, di sini bagi sesi persekolahan 2025 mencuri perhatian warga sekolah itu.
Nuradelia dan Nuradena Mohd. Shahrizal, 7, juga dilihat seakan-akan tidak dapat dipisahkan apabila mahu ditempatkan di bilik darjah yang sama.
Ibu kembar berkenaan, Sabirah Hamdi, 40, memberitahu, anak bongsunya itu enggan berpisah sehingga pihak sekolah terpaksa menempatkan mereka di kelas yang sama.
“Saya memang risau kerana anak kembar saya ini tidak dapat dipisahkan dan terpaksa meminta mereka diletakkan di dalam kelas yang sama iaitu Satu Talented hari ini. Alhamdulillah, apabila duduk kelas yang sama ‘mood’ kedua-duanya kembali ceria.
“Di rumah pun mereka buat kerja sama-sama. Apa pun bila masuk zaman persekolahan ini saya berharap kedua-dua akan dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu kelak,” katanya ketika ditemui di pekarangan sekolah berkenaan, di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE