IPOH – Pengunjung Pasar Raya Besar Mydin di Meru di sini digemparkan dengan kebakaran yang berlaku pada papan tanda di luar premis itu sebentar tadi.
Kejadian berlaku sekitar pukul 8.30 malam itu bagaimanapun tidak melibatkan kehilangan nyawa atau kecederaan.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, sepasukan 13 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya segera dihantar ke lokasi kejadian.
Katanya, setibanya pasukan di lokasi, didapati papan tanda di luar bangunan sedang terbakar dianggarkan sebanyak 10 peratus.
“Operasi memadam kebakaran segera dijalankan. Tiada mangsa yang terlibat dalam kejadian ini. Punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya di sini hari ini.
Pada 10 Mac 2024, pasar raya Mydin di Manjoi terbakar melibatkan bilik suis utama di tingkat atas pasar raya. -KOSMO! ONLINE.