PETALING JAYA – Bagai acara tahunan, selebriti Neelofa sekali lagi mengeluarkan senarai ramalan lagu yang bakal menduduki carta tiga teratas pada Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39), malam ini.
Tanpa mendedahkan kriteria calon pilihan, Neelofa atau Noor Neelofa Mohd. Noor, 36, meletakkan lagu Bukan Lagi Kita nyanyian Nadeera hasil ciptaan Hael Husaini sebagai naskhah yang akan membawa pulang trofi.
Malah, dia juga meramal Hening Rindu nyanyian Marsha selain Diam daripada Hael Husaini juga bakal memperoleh sesuatu pada kemuncak AJL39 di Axiata Arena Bukit Jalil.
Sebelum ini Neelofa pernah membuat tekaan tepat selama lapan tahun berturut-turut bermula dengan AJL edisi 31 sehingga AJL38.
Namun pada musim ke-35 ramalannya meleset apabila lagu Semalam nyanyian Aina Abdul yang menjadi pilihannya tewas kepada Gila ciptaan Noki, Loca B dan Kaka Azraff.
Begitupun, pada AJL36, ramalan usahawan selebriti itu ‘menjadi’i apabila Pelukan Angkasa nyanyian Shila Amzah dan Sekumpulan Orang Gila (SOG) dinobatkan sebagai juara, manakala pada edisi ke-37, Terus Hidup ciptaan Aina menepati tekaannya.
Selain AJL, isteri kepada penceramah bebas Haris Ismail atau PU Riz itu juga pernah membuat ramalan untuk beberapa acara mega lain termasuk Anugerah Bintang Popular.
AJL adalah majlis pengiktirafan kepada komposer dan penulis lirik yang menghasilkan karya terbaik, selain memberi anugerah kepada penyanyi yang membuat persembahan serta memiliki vokal terbaik.
Lagu yang bakal berentap malam ini adalah Sengaja (Amir Masdi), Puas Sudah (Aina Abdul), Saksama (Akim & The Majistret), Diam (Hael Husaini), Hening Rindu (Marsha Milan) dan Aura (Ernie Zakri).
Turut bertanding, Bukan Lagi Kita (Nadeera), Bintang (Hael Husaini), Pujaanku (Kugiran Masdo & Aisyah Aziz), Risiko (Benzoloo, Ghidd, Isobahtos, Meerfly, Tuju & MK K-Clique) serta Terus Bersinar (Hafiz Suip).
Kesemua karya diadili barisan juri profesional termasuk Datuk Mokhzani Ismail, LY, Efry Arwis, Helen Yap dan AD Samad ketika Separuh Akhir Muzik Muzik 39 lalu. – KOSMO! ONLINE