BANGKOK – Pelumba Yamaha, Fabio Quartararo mengambil pendekatan berhati-hati menjelang musim baharu Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) 2025, meskipun jentera pasukan itu mempamerkan peningkatan ketara dalam ujian pramusim baru-baru ini.
Selepas dua musim tanpa kemenangan, Yamaha tampak lebih bersedia tahun ini dengan keputusan positif dalam ujian di Sepang dan Buriram yang mencerminkan peningkatan prestasi jentera mereka.
Quartararo menamatkan ujian di Buriram di tempat kelapan secara keseluruhan, selain mencatat keputusan menggalakkan dalam simulasi perlumbaan pecut.
Kejayaan Yamaha sepanjang musim sejuk ini turut menarik perhatian pesaing, termasuk Ducati yang kini melihat pasukan Jepun itu sebagai ancaman baharu.
Bagaimanapun, juara dunia 2021 itu enggan meletakkan sebarang sasaran terlalu awal dan lebih selesa menunggu perkembangan sebenar apabila musim bermula.
“Saya tidak mempunyai sasaran, tidak ada matlamat, tiada apa-apa buat masa ini. Sekarang masih terlalu awal untuk meletakkan sasaran kerana kami masih dalam fasa penambahbaikan.
“Saya fikir sasaran sebenar hanya boleh ditentukan sebelum perlumbaan pecut dan perlumbaan utama. Lebih baik menilai bila kami sudah tahu kedudukan sebenar kami,” katanya.
Salah satu cabaran utama yang dihadapi Quartararo dalam ujian di Buriram ialah kesukaran menyesuaikan diri dengan tayar depan Michelin yang memberi kesan terhadap catatan masanya. – AGENSI