MANCHESTER – Ketika berada dalam keadaan cukup genting ketika ini, Manchester United terus ditimpa malang apabila pemain sayap lincahnya, Amad Diallo mungkin terpaksa diketepikan sehingga penghujung musim.
Keadaan itu disebabkan kecederaan ligamen buku lali dialami Diallo sebelum ini meskipun United akan membuat imbasan semula terhadap kecederaan pemain tersebut dalam masa terdekat.
Bintang Ivory Coast itu meluahkan kekecewaan kerana tidak dapat membantu pasukan pada baki saingan musim ini di kala United sedang memburu kedudukan terbaik dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).
“Saya sangat kecewa dengan perkembangan terbaharu dan sukar untuk menulis mesej ini ketika kami sedang berdepan tempoh paling penting sepanjang saingan musim ini. Malangnya, saya terpaksa berehat untuk tempoh yang lama.
“Apa yang pasti, saya akan kembali lebih kuat selepas ini sebaik sahaja pulih daripada kecederaan. Sekarang saya hanya perlu memberikan sokongan kepada rakan sepasukan untuk meneruskan cabaran,” katanya.
Kecederaan yang menimpa Diallo pastinya memberi tamparan hebat buat United, lebih-lebih lagi mereka sudah kehilangan khidmat beberapa pemain utama seperti Manuel Ugarte, Kobbie Mainoo dan Lisandro Martinez.
Lebih malang, United ketandusan pemain di posisi yang ditinggalkan Diallo memandangkan Marcus Rashford dan Antony sudah meninggalkan pasukan secara pinjaman sehingga hujung musim. – AGENSI