NEGARA-NEGARA yang terletak di Lingkaran Api Pasifik sememangnya sinonim dengan kejadian gempa bumi dan gunung berapi. Namun, semua itu tidak menghalang untuk penduduk terus mendiami kawasan tersebut. Bak kata pepatah, alah bisa, tegal biasa.
Di sebalik bencana alam yang maha dahsyat itu, kawasan gunung berapi mempunyai bentuk muka bumi yang cantik dan tanah yang subur sehingga menarik ramai pelancong untuk berkunjung ke situ. Berikut CitaRasa kongsikan lima negara yang mempunyai gunung berapi paling aktif di dunia.
1- Amerika Syarikat
AMERIKA Syarikat mempunyai 169 gunung berapi aktif yang kebanyakannya terletak di Alaska dan Hawaii. Di Alaska sahaja mempunyai kira-kira 130 gunung berapi aktif dengan kebanyakannya terletak di sepanjang Kepulauan Aleutian.

Ini kebanyakannya disebabkan oleh subduksi Plat Pasifik di bawah Plat Amerika Utara. Hawaii menjadi rumah kepada dua gunung berapi paling besar dan aktif iaitu gunung Kilauea di Pulau Besar dan Mauna Loa yang mempunyai larva gunung berapi paling banyak di dunia.
2- Indonesia
NEGARA ini mempunyai sekitar 130 gunung berapi aktif. Aktiviti gunung berapi ini disebabkan oleh kedudukan Indonesia di sepanjang Lingkaran Api Pasifik yang meliputi beberapa plat tektonik termasuk plat Eurasia, Pasifik dan Indo-Australia berkumpul.

Pergerakan dan subduksi plat ini menyebabkan letusan gunung berapi dan gempa bumi yang kerap. Beberapa gunung berapi yang terkenal dan aktif di Indonesia ialah seperti Gunung Merapi, Gunung Sinabung dan Gunung Krakatau.
3- Rusia
RUSIA mempunyai sekitar 120 gunung berapi aktif dan kebanyakannya terletak di bahagian paling timur negara tersebut iaitu di Semenanjung Kamchatka.
Ia sebahagian besarnya adalah kawasan ‘hotspot’ kerana terletak di kawasan Lingkaran Api Pasifik. Semenanjung Kamchatka adalah rumah kepada beberapa gunung berapi terkenal di Rusia seperti Klyuchevskaya Sopka, Shiveluch dan Tolbachik.

Gunung berapi ini adalah sebahagian daripada landskap dramatik di rantau itu yang telah diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia di bawah Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) kerana keindahan semula jadi dan kepentingan geologinya.
4- Jepun
TERLETAK di sepanjang Lingkaran Api Pasifik, Jepun mempunyai 111 gunung berapi aktif yang mewakili kira-kira 10 peratus daripada gunung berapi aktif di dunia. Lokasi tektoniknya berada di sempadan konvergen banyak plat, mengakibatkan letusan berkala dan gempa bumi.

Gunung berapi yang paling terkenal di negara itu ialah Gunung Fuji, Gunung Sakurajima dan Gunung Aso. Gunung Fuji adalah simbol ikonik Jepun dan kali terakhir meletus adalah pada tahun 1707.
Gunung Sakurajima yang terletak di Teluk Kagoshima adalah salah satu gunung berapi paling aktif di negara ini dengan letusan kerap yang memberi kesan kepada kawasan sekitarnya, manakala Gunung Aso yang terletak di pulau Kyushu merupakan salah satu gunung berapi aktif terbesar di dunia yang mempunyai kaldera besar dan berbilang kawah aktif.
5- Chile
KIRA-KIRA 90 gunung berapi aktif di Chile yang kebanyakannya terletak di sepanjang Banjaran Andes.
Aktiviti gunung berapi di Chile adalah disebabkan oleh subduksi Plat Nazca di bawah Plat Amerika Selatan yang membawa kepada letusan biasa. Beberapa gunung berapi aktif yang terkenal di negara itu ialah Gunung Villarrica, Gunung Llaima dan Gunung Calbuco.

Gunung berapi ini membentuk rupa bumi serta menyediakan tanah yang subur.
Perkhidmatan Geologi dan Perlombongan Negara (Sernageomin) sentiasa memantau gunung berapi di Chile yang sekali gus mengeluarkan amaran awal bagi membantu mengurangkan risiko kecelakaan akibat letusan.