KOTA KINABALU – Dua sepakan penalti berjaya menyelamatkan Sabah FC daripada tewas apabila mengikat Sri Pahang 2-2 pada aksi Liga Super di Stadium Likas, sebentar tadi.
Ketiadaan penyerang utama, Joao Pedro yang menyertai kelab Vietnam, Ho Chi Minh City FC secara pinjaman seakan turut beri kesan kepada ketajaman Sabah FC setiap kali memperoleh peluang.
Penyerang Harimau Malaya, Darren Lok terus membuktikan impaknya apabila tenang menyempurnakan kedua-dua penalti tuan rumah namun keputusan ini dilihat sebagai perkembangan baik buat Sri Pahang yang akan bermain di final Piala Malaysia.
Sabah FC memulakan perlawanan dengan baik apabila mendahului permainan menerusi sepakan penalti Lok pada minit ke-21 namun kelebihan itu hanya bertahan empat minit apabila Adam Nor Azlin melepaskan rembatan jarak jauh menarik yang menewaskan Khairul Fahmi Che Mat di pintu gawang tuan rumah.
Jaringan itu seakan menambah bisa serangan Tok Gajah yang memperoleh gol kedua menerusi bintang import sensasinya, Kpah Sherman pada minit ke-44.
Tuan rumah hanya memerlukan 15 minit di babak kedua untuk kembali menyamakan kedudukan, sekali lagi menerusi sepakan penalti Lok.
Gol itu nyata merubah corak permainan Sabah FC yang dilihat makin garang mengatur serangan namun tiada sebarang jaringan mampu dihasilkan untuk kedua-dua pasukan terpaksa berpuas hati dengan satu mata. – KOSMO! ONLINE