TAPAH – Kebakaran dan letupan dari sebuah rumah dua tingkat di Jalan Pahang, Kampung Pahang di sini kira-kira pukul 6.05 pagi tadi menyebabkan keseluruhan tiga buah kediaman, sebuah sekolah dan sebuah kereta Perodua Myvi mengalami kerosakan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, kebakaran itu melibatkan sebuah rumah dua tingkat yang 60 peratus strukturnya terbakar.
“Satu letupan telah berlaku dari rumah yang terbakar itu yang menyebabkan tiga buah rumah, sebuah sekolah dan sebuah kereta Perodua Myvi terjejas impak letupan tersebut.
“Tiga buah rumah itu mengalami kerosakan seperti siling rosak dan cermin pecah selain sebuah sekolah yang turut mengalami kerosakan yang sama,” katanya di sini hari ini.
Katanya, letupan itu turut menyebabkan cermin kereta belakang pecah, namun tiada mangsa yang mengalami sebarang kecederaan.
Tambah beliau, anggota melaksanakan operasi khas untuk melakukan kerja-kerja pemadaman api sehingga kebakaran dapat dipadamkan sepenuhnya.
Difahamkan, letupan itu berpunca daripada tong gas, manakala punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan. – KOSMO! ONLINE