BANDAR RAYA MEXICO – Seorang lelaki misteri menjadi perhatian ramai selepas berjalan di samping seekor singa yang melarikan diri dari sebuah pusat perlindungan haiwan di Mexico, lapor akhbar Metro UK semalam.
Haiwan itu melarikan diri dari Yayasan Haiwan Recica, daerah Edomex sebelum ditemukan berkeliaran di beberapa jalan di bandar San Pedro Cholula, daerah Puebla pada Rabu lalu.
Kemunculan singa tersebut menyebabkan orang ramai panik dan menghubungi pihak berkuasa sekitar pukul 7 pagi (waktu tempatan).
Rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) yang disiarkan di media sosial menunjukkan singa itu berkeliaran di sebatang jalan sebelum dijinakkan dan diiringi oleh seorang lelaki misteri.
Pejabat Datuk Bandar mengesahkan bahawa haiwan tersebut telah ditangkap, manakala siasatan sedang giat dijalankan untuk mengenal pasti punca kejadian.
“Pemeriksaan akan dibuat bagi mengukuhkan langkah keselamatan di kawasan itu selain mencegah kejadian serupa pada masa hadapan.
“Haiwan itu berjaya dikesan dan dibawa pulang ke tempat asalnya,” tambahnya.
Seorang wartawan tempatan, Oscar Mario Beteta berkata: “Penduduk memaklumkan pihak berkuasa, tetapi ‘kucing besar’ itu kembali ke tempat perlindungan dengan sendirinya tanpa sebarang insiden.”
Bagaimanapun, tiada maklumat lanjut mengenai lelaki misteri berkenaan. – AGENSI