KOTA BHARU – Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya membongkar kegiatan melupus sisa buangan elektrik dan elektronik (e-waste) yang dianggarkan bernilai RM60,000 tanpa kaedah yang betul selepas menyerbu sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Pengkalan Chepa di sini semalam.
Serbuan kira-kira pukul 9.15 pagi menerusi Op Hazard itu dijalankan oleh Batalion 8 PGA dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kota Bharu.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, pemeriksaan di dalam kilang itu menjumpai enam guni berisi e-waste tanpa dokumen yang sah dari JAS.
Menurutnya, siasatan lanjut mendapati, kilang tersebut disyaki menjalankan kegiatan memproses sisa pelupusan.
“Seorang lelaki berusia 47 tahun yang merupakan penjaga kilang tersebut turut ditahan bagi membantu siasatan.
“Suspek dibawa ke Balai Polis Pengkalan Chepa di sini untuk tindakan lanjut manakala barangan rampasan yang dianggarkan bernilai RM60,000 dihantar ke JAS Kota Bharu,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Nik Ros Azhan memberitahu, PGA dan JAs akan terus mempergiat usaha melupuskan e-waste dengan kaedah yang betul agar kualiti alam sekitar tidak tercemar daripada bahan yang berbahaya.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 34B(1)(b) dan Seksyen 34B(c) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974. – KOSMO! ONLINE