BURIRAM – Juara dua kali Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP), Francesco Bagnaia mengakui rakan sepasukannya, Marc Marquez berada dalam keadaan lebih bersedia menjelang musim 2025 selepas tamat ujian pramusim di Buriram, Thailand.
Bagnaia mengalami dua hari yang sukar akibat masalah teknikal bersama jentera Ducati miliknya menyebabkan dia tidak dapat menjalani simulasi perlumbaan penuh seperti Marquez.
“Ketika ini, Marc (Marquez) kelihatan lebih bersedia kerana dia mempunyai peluang untuk bekerja dan menyesuaikan diri dengan jentera, sedangkan saya tidak berada dalam situasi yang sama.
“Saya tidak sempat melakukan simulasi kerana saya kehilangan hampir sepanjang hari (kerosakan jentera). Saya terpaksa memulakan semula dari kosong dan tidak mempunyai masa untuk melakukannya,” kata pelumba Itali tersebut.
Bagaimanapun, Bagnaia tetap optimis dengan prestasinya meskioun mengakui Marquez telah menunjukkan tahap persaingan yang tinggi dalam ujian tersebut.
“Marc mencatat masa yang sangat mengagumkan, dia sangat pantas dan kompetitif. Apabila saya berhenti dan memulakan semula, saya berada pada tahap yang sama, tetapi itu bukan cara yang tepat untuk menilai keseimbangan kami,” tambahnya.
Marquez mencuri perhatian sewaktu sesi ujian di Litar Antarabangsa Chang, Buriram dengan catatan masa konsisten dalam lingkungan satu minit 30 saat ketika simulasi perlumbaan.
Bagnaia pula hanya sempat melakukan beberapa ujian pendek dengan tayar terpakai disebabkan masalah teknikal dihadapi jenteranya ketika itu. – AGENSI