GEORGE TOWN – Kolektif Jalan Terus, sebuah kumpulan sukarelawan komited memperkasa dan mencungkil bakat baharu anak-anak muda menerusi penganjuran klinik bola sepak di Pulau Pinang.
Klinik anjuran bersama Persatuan Bekas Pemain Bola Sepak Pulau Pinang (EX Penang) itu akan menjelajah semua lima daerah di negeri ini dengan acara kemuncak siri penjelajahan diadakan sebagai penutup acara nanti.
Kolektif Jalan Terus merupakan kumpulan sukarelawan Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong merangkap Menteri Sumber Manusia.
Koordinatornya, Mohd. Nazirullah Nordin berkata, bola sepak merupakan sukan yang cukup sebati dengan rakyat Pulau Pinang dan penganjurannya bertujuan memperkasakan bola sepak negeri melalui usaha peringkat akar umbi.
“Seramai 100 orang peserta telah menyertai klinik bola sepak di peringkat daerah Timur Laut, semalam yang terbahagi kepada empat kategori iaitu bawah 14 tahun, 12 tahun, 10 tahun dan bawah 8 tahun.
“Para peserta menjalani pelbagai latihan sebelum ujian dilakukan pada penghujung klinik. Istimewa di klinik ini, ibu bapa juga dilibatkan sebagai sebahagian daripada ekosistem seorang pemain bola.
“Ibu bapa para peserta diberikan taklimat berkaitan hala tuju anak mereka dalam sukan bola sepak. Selain itu, mereka turut didedahkan sokongan yang boleh diberikan kepada anak dari segi motivasi, persediaan pemakanan, penjagaan kesihatan dan lain-lain,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu, perasmian Klinik Bola Sepak Jalan Teruih Peringkat Daerah Timur Laut disempurnakan Pegawai Tugas Khas Steven Sim iaitu Edry Faizal Eddy Yusof dan penasihat EX Penang, Datuk Seri Syed Mohamad Syed Murtaza bertempat di Padang Polo di sini, semalam. – KOSMO! ONLINE