PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan hujan lebat berterusan di Sabah, Sarawak dan timur Semenanjung dalam tempoh empat hari bermula Jumaat depan.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi (MetMalaysia), Dr. Mohd. Hisham Mohd. Anip berkata, ia susulan analisis terhadap model-model ramalan cuaca terkini menunjukkan luruan monsun dijangka memasuki rantau negara bermula 21 sehingga 25 Februari ini.
“MetMalaysia sentiasa memantau keadaan cuaca dari semasa ke semasa.
“Kami akan mengeluarkan amaran hujan berterusan sebaik sahaja output model-model ramalan cuaca mencapai tahap keyakinan tinggi,” katanya menerusi kenyataan, hari ini
Orang awam adalah dinasihatkan untuk sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan media sosial rasmi MetMalaysia serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih. – KOSMO! ONLINE