PETALING JAYA – Mantan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Hamidin Mohd Amin menzahirkan penghargaan kepada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang disifatkan banyak membantu beliau sepanjang menerajui badan induk itu.
Hamidin menjelaskan Hannah sentiasa memberikan bantuan dan sokongan kepada FAM termasuk dalam memperjuangkan pembinaan Pusat Latihan Kebangsaan (NTC) di Presint 5, Putrajaya.
“Tanpa bantuan dan sokongan beliau, sudah tentu ia sedikit sebanyak menjejaskan perancangan FAM, baik daripada segi pentadbiran, infrastruktur dan pembangunan pasukan kebangsaan. Sebagai contoh, beliau (Hannah) begitu bersungguh-sungguh dalam memperjuangkan pembinaan NTC.
“Saya mula mengadakan pertemuan dengan beliau pada awal tahun 2023. Selepas beberapa kali mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan beliau, FAM mendapat peruntukan RM45 juta bagi pembinaan projek NTC Fasa 2.
“FAM juga harus berterima kasih kepada beliau atas pemberian geran padanan sukan untuk penganjuran program atau aktiviti seperti Pestabola Merdeka. Geran tersebut banyak membantu FAM melaksanakan program dirancang,” katanya.
Dalam masa sama, Hamidin turut merakamkan ucapan terima kasih kepada beberapa agensi di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) seperti Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN) serta Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS).
Terdahulu, Hamidin ambil keputusan untuk tidak mempertahankan jawatannya pada Kongres Tahunan FAM Kali Ke-61 yang menyaksikan tempatnya diambil alih oleh Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub. – KOSMO! ONLINE