PETALING JAYA – Polis menegaskan kehadiran unit peronda di sebuah kedai buku di sini, hanyalah aktiviti rutin dan melibatkan pemantauan di luar premis.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar berkata, pihaknya terkesan satu ciapan tular melalui aplikasi X memaparkan dua gambar kehadiran pihak polis dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sebuah galeri buku.
Beliau berkata, kehadiran pihak penguat kuasa KDN dan polis unit rondaan adalah pada tarikh dan tujuan yang berbeza.
“Pihak penguat kuasa KDN melakukan pemeriksaan pada 14 Februari (Jumaat) manakala unit rondaan polis adalah pada semalam.
“Rondaan pihak polis adalah aktiviti rutin dalam memantau sebarang program yang diadakan dan hanya melibatkan pemantauan di luar bangunan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tegas Shahrulnizam, kehadiran polis bukan bertujuan untuk menganggu sebarang program, aktiviti masyarakat atau mana-mana kumpulan yang diadakan secara sah.
“Pihak polis mengingatkan semua pihak supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan atau komen yang boleh mengelirukan orang ramai dan mengugat keamanan dalam negara,” katanya.
Terdahulu, galeri buku berkenaan yang terkenal dengan penerbitan buku-buku kiri menerusi ciapannya berkata pihak KDN datang ke premis mereka untuk mencari ‘buku haram’ sempena sambutan Hari Kekasih.
Kemudian, dalam ciapan seterusnya, galeri buku berkenaan memuat naik gambar unit peronda polis dan mendakwa pihak berkuasa berkenaan ingin memantau perhimpunan yang diadakan di premis tersebut. – KOSMO! ONLINE