PETALING JAYA – Fitri Maskon menjadi ‘mangsa’ ketegasan pertama pucuk pimpinan baharu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) apabila pengadil itu dipecat daripada semua tugasannya.
Walaupun agak sukar untuk menentukan hukuman, badan induk itu menjelaskan ia adalah perlu sebagai peringatan kepada pengadil lain supaya menjalankan tugas dengan lebih baik.
Timbalan Presiden FAM, Datuk S. Sivasundaram menjelaskan laporan yang diterima pihaknya mendapati Fitri menunjukkan prestasi yang lemah pada perlawanan Piala MFL 2024-2025, Negeri Sembilan FC menentang Selangor FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada Khamis lalu.
“Laporan Penilai Pengadil telah menunjukkan bahawa Fitri telah menunjukkan satu prestasi yang sangat lemah, sekali gus mempengaruhi keputusan perlawanan. Unit Pengadil FAM juga telah membuat analisa perlawanan dan mendapati keputusan sepakan penalti yang diberikan oleh beliau adalah kurang tepat.
“Hasil analisa juga menunjukkan tambahan masa yang diberi iaitu 15 minit pada akhir perlawanan adalah keterlaluan sehingga menyebabkan perlawanan yang sepatutnya berkesudahan seri, berakhir dengan keputusan berbeza.
“Ini jelas membuktikan bahawa keputusan pengadil telah mempengaruhi dan memberi impak yang jelas kepada keputusan akhir perlawanan,” katanya.
Perlawanan itu menyaksikan Selangor FC II menang 2-1 ke atas Negeri Sembilan.
Mengulas lanjut, selepas mengadakan perbincangan yang mendalam bersama dengan kepimpinan tertinggi FAM, maka badan induk itu telah mengambil satu keputusan yang tegas iaitu memecat Fitri daripada semua tugasan pengadil.
“Walaupun keputusan tegas ini dibuat dengan hati yang berat, namun ia perlu dijadikan sebagai satu pengajaran kepada semua pengadil.
“Keputusan memecat pengadil adalah satu tindakan yang pertama kali dibuat kerana sebelum ini pengadil hanya digantung tugas. Ini satu isyarat jelas supaya pengadil perlu lebih serius ketika menjalankan tanggungjawab mereka di atas padang,” katanya. – KOSMO! ONLINE