fbpx

EPL: Tekanan Manchester United lebih hebat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
UNITED tidak mempunyai pilihan kecuali menewaskan Spurs untuk memperbaiki kedudukan mereka apabila berada di kelompok 10 terbawah saingan EPL ketika ini. - FB MANCHESTER UNITED

MANCHESTER – Pengendali Manchester United, Ruben Amorim mengakui bahawa beliau berdepan tekanan lebih tinggi berbanding rakan sejawatnya di Tottenham Hotspur, Ange Postecoglou.

United bakal berkunjung ke London untuk berdepan Spurs pada aksi tengah malam ini ketika kedua-dua pasukan berdepan masalah prestasi sehingga menyaksikan mereka berada di kelompok 10 pasukan terbawah selepas 24 perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Menurut Amorim, status United sebagai kelab besar di England meletakkan dirinya terbeban dengan tekanan yang terpaksa dipikul ekoran prestasi berkenaan kerana semua pihak sentiasa memberikan tumpuan terhadap mereka.

“Saya adalah peminat Postecoglou. Saya memahami apa yang dihadapi beliau, kami berdepan masalah yang sama. Namun, United adalah kelab yang lebih besar dan sudah pasti saya berdepan tekanan yang lebih hebat,” katanya.

Amorim yang dilantik pada November lalu sudah mengharungi 13 aksi EPL, namun rekodnya tidak begitu baik apabila hanya berjaya memenangi empat perlawanan, manakala Postecoglou juga hanya mampu meraih empat kemenangan liga sejak November lalu untuk Spurs.

“Kami sentiasa sedar dengan pilihan yang kami lakukan untuk terlibat dalam profesion seperti ini. Apabila sesebuah pasukan gagal menang, ia menyebabkan kami merasai tekanan.

“Untuk United, semua baki perlawanan musim ini adalah perlawanan besar buat kami. Pasukan ini perlu menang walau apa cara sekalipun dan kami juga perlu meningkatkan tahap permainan kami,” jelasnya.

Amorim berharap The Red Devils akan kembali bangkit selepas mereka dimalukan Crystal Palace 0-2 pada aksi terakhir, namun beliau turut mendedahkan bahawa United berdepan isu kecederaan baharu ketika sesi latihan minggu ini.

“Ia adalah minggu yang baik kecuali kira-kira dua hari lalu. Kami menghadapi masalah, mungkin satu atau dua isu apabila ada pemain yang tercedera. Kami perlu menanti dan berharap mereka akan kembali cergas,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI